Pendahuluan Mutakhir ini, pelbagai jenis produk makanan tambahan dipromosikan dengan giat di kaca televisyen, setiap corong radio dan juga media sosial. Semangat dan iltizam dalam menjayakan perusahaan mereka wajar dipuji tetapi terdapat segelintir daripada mereka yang menipu pelanggan dimana produk mereka mempunyai bahan-bahan yang membahayakan dan boleh memudaratkan nyawa seseorang. Jika ditelusuri, makanan tambahan terbahagi kepada beberapa jenis seperti suplemen vitamin dan mineral, suplemen berasaskan herba dan tumbuhan serta suplemen kecantikan dan kosmetik. Faktor kesempitan masa dan tahap pemakanan berkhasiat yang sukar dicapai manusia hari ini telah menyebabkan pengambilan makanan tambahan sebagai suatu yang perlu dalam kehidupan masing-masing. Oleh itu, wajar untuk kita mengenali kesan-kesan pengambilan makanan tambahan sebelum kita membeli dan menggunakannya untuk mendapat kesan yang kita harapkan. Isi 1 Antara kesan yang mujarab dalam pengambilan makanan tambahan adalah ia membantu meningkatkan tahap imunisasi badan seseorang sekaligus meningkatkan tahap kesihatan diri. Misalnya, kanak-kanak yang sukar untuk memakan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran, mereka harus mengambil suplemen seperti vitamin A dan vitamin C supaya mereka mendapat nutrien dan zat yang cukup lebih-lebih lagi dalam umur pertumbuhan yang vital. Bagi golongan dewasa pula, makanan tambahan seperti pati ikan kod atau susu juga penting dalam membekalkan nutrien khusus untuk antibodi dalam badan mencegah penyakit-penyakit yang berisiko apabila sudah berusia. Hal ini kerana, bila usia kita sudah lanjut, sesetengah fungsi badan tidak dapat berfungsi dengan baik seperti dahulu jadi makanan tambahan akan membekalkan keperluan yang cukup untuk badan kita berfungsi dengan baik dan menyihatkan diri kita. Persis mutiara kata, mencegah lebih baik daripada merawat. Isi 2 Selain itu, pengambilan makanan tambahan memberikan kesan yang efektif kepada atlet negara kita khususnya dan atlet dunia amnya. Jurang perbezaan fizikal yang ketara telah menyebabkan persaingan yang sihat dalam industri sukan menjadi sukar dan membunuh keseronokan bersukan. Kajian saintifik dan kemajuan teknologi dewasa ini telah membantu penghasilan makanan tambahan yang boleh meningkatkan tahap fizikal seseeorang untuk menjadi lebih tinggi, tegap dan berotot berbanding dengan manusia biasa. Justeru, makanan tambahan telah memberi kesan positif kepada atlet di mana mereka boleh meningkatkan tahap fizikal mereka disamping berlatih untuk kebolehan dan teknik dalam sukan yang diceburi dan seterusnya bersaing di peringkat dunia. Atlet bina badan negara, Sazali Samad adalah contoh atlet yang menggunakan makanan tambahan dan berbekalkan disiplin dan latihan yang mantap, beliau berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dengan merangkul anugerah “Mr. Universe” sebanyak 10 kali. Isi 3 Namun begitu, pengambilan makanan tambahan juga seperti kehidupan, ada baik dan ada buruknya. Kesan buruk dalam pengambilan makanan adalah sangat membahayakan sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Sesetengah daripada kita mungkin tidak sesuai dalam mengambil makanan tambahan tertentu. Janganlah kita alpa dan memakan hasutan pengusaha-pengusaha produk makanan tambahan hari ini yang suka menggunakan taktik testimoni pelanggan yang berjaya dalam menggunakan produk mereka. Tuhan telah lahirkan setiap daripada kita berbeza-beza, begitu juga tahap kesesuaian dan kebolehan kita dalam mengambil makanan tambahan. Rentetan itu, kita sebenarnya memerlukan rujukan daripada orang yang berkelayakan seperti doktor dan ahli farmasi dalam menentukan pengambilan makanan tambahan. Tindakan yang tegas dan pantas oleh pihak berkuasa juga diperlukan dalam melindungi masyarakat daripada golongan pengusaha yang hanya mengejar kekayaan dan bukannya memikirkan kesihatan pelanggan mereka. Isi 4 Dalam masa yang sama, pengambilan makanan tambahan ini akan meningkatkan tahap kebergantungan masyarakat harini terhadap produk tersebut dalam mendapatkan makanan berkhasiat. Kemajuan dalam teknologi pembuatan makanan ini wajar dirai namun kita sebenarnya hendaklah menyemarakkan sumber asal pemakanan yang dapat membantu kita dalam mencapai kesihatan optimum diri. Makanan tambahan dihasilkan daripada gabungan ekstrak dan bahan-bahan kimia yang sebahagiannya ditumbuhkan dalam makmal dan memerlukan bahan penstabilan dimana ia boleh mengancam fungsi tubuh badan kita jika diambil secara berlebihan. Pada hemat saya, kita perlu melebihkan usaha meningkatkan industri pertanian dan makanan yang menggunakan sumber asli dan organik dimana tiada penggunaan racun atau bahan kimia dalam proses pembuatan makanan dan sekaligus mengurangkan risiko kita daripada penyakit yang disebabkan oleh keracunan dan bahan kimia yang terkandung dalam makanan tambahan mahupun makanan harian kita. Penutup Tuntasnya, pelbagai kesan samada baik dan buruk yang telah kita singkap dalam perbincangan di atas. Setiap ahli masyarakat perlu bersikap inteligensia dan madani dalam mendepani arus pemodenan dunia hari ini dan mengamalkan praktik yang terbaik dalam memastikan kesihatan diri masing-masing. Makanan merupakan keperluan asas utama manusia dan pemain industri pemakanan perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan makanan atau produk yang dihasilkan betul-betul memberikan manfaat kebaikan kepada setiap golongan manusia. Elakkanlah bersikap bodoh sombong dalam menerima nasihat dan pendapat daripada golongan cendiakawan agar tindakan atau produk itu tidak memberikan mudarat kepada sesiapa pun. Semoga rakyat kita bijaksana untuk menentukan kaca atau permata dalam setiap aspek kehidupan terutamanya pemakanan yang akan menentukan daya kebolehan masyarakat dalam kesihatan sekaligus melahirkan generasi yang sihat dan bebas penyakit.
Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/kesan-pengambilan-makanan-tambahan.html🧑🏻💻🙋🏻♀️💜🎶